Sepanjang tempoh saya melakukan rawatan untuk pesakit yang mengalami gangguan jin, banyak cerita-cerita yang saya dengar dari para pesakit saya. Mereka ini pernah mendapatkan rawatan dengan perawat lain sebelum datang untuk mendapatkan rawatan dari saya.
Mereka menceritakan ada perawat yang merawat mereka mengatakan mereka ini telah disihir oleh sifulan. Ada perawat lain pula yang mengatakan mereka ini ada saka keturunan, dan macam-macam lagi. Tetapi apa yang agak memelikkan saya ialah semua yang dikatakan oleh perawat-perawat ini berdasarkan rawatan yang dilakukan secara jarak jauh. Contohnya menggunakan gambar, nama dan sebagainya.
Bolehkah? Benarkah? Kaedah ini syar’i ke tak?
Sebelum saya menulis dengan lebih lanjut tentang perkara ini, saya nak kongsikan dengan anda dua perkara yang menjadi asas dalam tulisan saya kali ini.
1) Percaya kepada perkara ghaib adalah ciri-ciri orang beriman
Allah s.w.t berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5, bermaksud:
“Alif, Laam, Mim. (1) Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang kesempurnaannya), dan ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa (2) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka (3) Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya) (4) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya (5)”
Dalam ayat di atas, Allah menerangkan dengan jelas tentang ciri-ciri orang yang beriman. Saya taknak highlight kan semuanya. Saya nak fokuskan pada ciri yang pertama sekali berdasarkan ayat di atas, iaitu beriman kepada perkara ghaib.
Apakah yang dimaksudkan dengan perkara ghaib?
Ghaib menurut istilah adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia, tetapi kewujudannya dibenarkan oleh al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Oleh kerana itu, apabila seseorang menafikan atau tidak mempercayai perkara ghaib, samalah seperti orang itu mengingkari agama Islam itu sendiri.
Antara perkara-perkara yang termasuk di dalam perkara ghaib ialah:
- Syurga
- Neraka
- Soalan kubur
- Alam jin
- Alam malaikat
- Masa lalu
- Masa depan
Tapi yang menjadi masalah dalam masyarakat kita ialah mereka taksub dengan individu-individu yang ada kebolehan tentang perkara ghaib. Bahkan masyarakat kita menganggap orang-orang yang tahu perkara ghaib ini adalah orang yang warak, alim dan dekat dengan Allah. Hingga Allah buka hijab kononnya. Sedangkan al-Quran menerangkan yang sebaliknya.
2) Tidak ada seorang pun makhluk Allah yang tahu persoalan ghaib
Jangan terpedaya dengan kata-kata kononnya seseorang itu diberi kelebihan oleh Allah sehingga dia dapat mengetahui persoalan ghaib. Bagaimana ada yang berani mengaku yang dia diberikan kelebihan oleh Allah tentang perkara ghaib, sedangkan di dalam Al-Quran Allah telah memerintahkan kepada Rasulullah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Baginda langsung tidak mengetahui persoalan ghaib.
Allah berfirman di dalam al-Quran:
Surah an-Namlu ayat 65 yang bermaksud:
“Katakanlah lagi: Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)”
Surah at-Taubah ayat 101 bermaksud:
“Dan diantara orang-orang yang disekeliling kamu dari orang-orang Arab ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah, mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar”
Dalam ayat di atas, Allah dengan tegas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak mengetahui persoalan ghaib. Dan ayat yang di bawah ini pula, Rasulullah s.a.w sendiri yang mengakui bahawa Baginda tidaklah mengetahui persoalan ghaib.
Allah berfirman di dalam surah al-A’raf ayat 188 yang bermaksud:
“Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak akan ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”
Dengan dua perkara asas yang saya kongsikan di atas, saya harap anda dapat jadikan ianya sebagai panduan sebelum pergi mendapatkan khidmat rawatan dari mana-mana perawat untuk merawat masalah gangguan jin yang dihadapi. Jangan terus terima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh perawat.
Ok, sekarang mari kita terus kepada tajuk utama artikel ini. Apakah sembilan perkara yang perlu anda pastikan perawat tidak lakukannya sebelum anda mendapatkan khidmat rawatan dari mereka.
1) Perawat dapat menjelaskan segala masalah pesakit sebelum pesakit menceritakan masalahnya. Macam cerita nujum pak belalang. Cuba kita fikir secara waras. Bagaimana perawat (walaupun mereka mendakwa mereka perawat Islam) tersebut boleh tahu apa penyakit sipesakit tanpa perlu merawatnya (scan) terlebih dahulu.Lihat, baca dan fahami semula ayat-ayat yang saya kongsikan di atas. Rasulullah sendiri mengaku bahawa bginda tidak tahu sebarang bentuk benda ghaib melainkan apa yang diwahyukan sahaja.
2) Perawat melakukan rawatan dari jarak jauh hanya dengan menggunakan gambar ataupun nama sahaja. Apa yang saya praktikkan di pusat rawatan saya ialah, sekiranya dah tiada jalan yang dapat dilakukan untuk merawat pesakit, saya akan tolong buatkan solat hajat. Tetapi saya tekankan bahawa solat hajat BUKANLAH rawatan. Ianya hanya sebagai satu bentuk pertolongan atas jalan kebaikan dan taqwa sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
“…hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”
Yang menjadi masalahnya apabila dilakukan solat hajat, ada sesetengah orang yang kononnya diberikan ‘kelebihan’, akan mendapat ilham melalui mimpi. Di dalam mimpi tersebut akan diberikan jawapan tentang apa yang dihajatkan. Contohnya kalau ada pesakit yang minta buat solat hajat untuk minta tengokkan siapa yang menghantar sihir, dengan solat hajat yang dilakukan, mereka yang melakukan solat hajat itu akan menceritakanlah siapa yang menghantar sihir tersebut.
Inilah salah satu bentuk penipuan yang bertopengkan islamik.Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah salah menggunakan solat hajat seperti yang saya ceritakan di atas? Dan bagaimana cara sebenarnya?
Sebenarnya tidaklah salah menggunakan medium solat hajat sebagai salah satu cara merawat gangguan jin. Tetapi apa yang menjadi isunya di sini ialah bagaimana perawat yang melakukan solat hajat tersebut boleh mengetahui masalah pesakit. Boleh tahu masalah pesakit samada gangguan sihir, saka dan sebagainya. Bahkan boleh bercerita siapa yang menghantar sihir. Ini yang menjadi salah.
Apa yang saya ceritakan ini bukan rekaan. Inilah apa yang diceritakan oleh pesakit-pesakit saya. Mungkin anda yang membaca artikel saya ini pernah terjebak dengan kaedah rawatan sebegini. Sungguh, memang tidak ada kaedah rawatan begini. Jadi, saya harap selepas ini anda janganlah terlibat dengan kaeda-kaedah begini.
3) Perawat mendakwa boleh tahu jumlah jin dalam badan pesakit. Anda pernah jumpa perawat begini? Tentang ada sesetengah orang yang mendakwa boleh melihat jin, tahu jumlah jin, saya ada hurai dalam artikel yang lain. Anda boleh baca artikel tersebut di sini. Kita pergi pada soalan lain. Benarkah ada manusia yang boleh melihat jin? Sebelum saya kongsikan pendapat berdasarkan pengalaman saya, mari kita lihat jawapan al-Quran terlebih dahulu. Jawapan yang cukup jelas dan mudah untuk difahami.
Allah berfirman di dalam al-Quran di dalam surah al-A’raf yang bermaksud:
“…sesungguhnya dia dan pengikutnya dapat melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihatnya..”
Ayat ini berbicara ttg iblis dan pengikutnya. Informasi ayat ini sangat jelas bahwa iblis dan pengikutnya (iblis termasuk bangsa jin) dapat melihat kita dan kita tidak dapat melihat mereka.
Jadi, berdasarkan pengalaman saya, orang yang mendakwa dapat melihat jin ini, mereka termasuk dalam salah satu dari tiga keadaan di bawah:
- Orang tersebut mengalami gangguan. Dalam erti kata lain ada jin yang mendiami di dalam tubuhnya.
- Orang tersebut berdamping dengan jin. Maksudnya segala yang diberitahukan berkaitan dengan jin sebenarnya telah disampaikan oleh yang berdamping dengan dirinya.
- Orang tersebut hanya menipu semata-mata.
Kesimpulannya, dalam keadaan yang normal, tidak ada seorang manusia pun yang boleh melihat jin ataupun masuk ke dalam jin, kerana ini semua termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Jadi jika anda berjumpa dengan perawat-perawat begini, nasihat saya tinggalkanlah mereka.
Baiklah, oleh kerana saya merasakan artikel ini dah agak panjang, saya akan sambung lagi penulisan saya ini dalam artikel yang seterusnya. Dalam artikel ini, saya hanya kongsikan tiga perkara di mana jika ada mana-mana perawat yang lakukannya, seperti yang saya katakan sebentar tadi, tinggalkanlah mereka. Janganlah berjumpa dan menggunakan khidmat rawatan mereka untuk merawat masalah gangguan jin yang anda hadapi.
0 comments:
Post a Comment