Secara umumnya, kita semua mengetahui bahawa manusia diciptakan
daripada setitis air mani yang kotor. Itulah yang dikatakan tarafnya seorang
hamba yang hina dan tiada apa-apa di sisi Allah.
Namun, walau ia nampak jijik dan kotor, Allah terus mengangkat
darjat kita sebagai hamba sewaktu menciptakan manusia pertama yakni Nabi Adam.
Allah menempatkan Nabi Adam di singgahsana yang paling mulia iaitu di
syurgaNya.
Walaupun pada mulanya malaikat membantah dengan idea untuk
menciptakan manusia, tetapi atas rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada tara,
Allah berpegang teguh untuk menciptakan manusia, seraya berkata kepada
malaikat,
“Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah
al-Baqarah 2:50)
Selepas terciptanya Nabi Adam, Allah memerintahkan kesemua
makhluk untuk bersujud kepada Nabi Adam sebagai tanda penghormatan dan
memuliakan.
Kesemua makhluk sujud kecuali iblis. Fitrahnya sikap iblis yang
sentiasa membantah, melakukan perkara yang mungkar, melanggar suruhan Allah dan
yang paling utama bersungguh-sungguh iblis meminta kepada ALLAH untuk terus
menyesatkan manusia sehingga hari kiamat, di dalam surah al-Hijr dan surah Sad,
“Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai
hari (manusia) dibangkitkan,”
Walaupun seburuk-buruk sifat sang iblis, ada perasaan kagum dan
pengajaran yang perlu kita lihat dan ambil di sebalik doa yang dituturkan oleh
iblis.
Iblis berdoa dan meminta pada ALLAH supaya diberi penangguhan
waktu untuk menyesatkan anak Adam sehingga hari kebangkitan. Bukankah berdoa
dan memohon sesuatu itu selayaknya buat kita manusia yang bertaraf hamba?
Jika kita sebagai manusia masih lagi sombong dan bersikap sambil
lewa dalam berdoa, jadi siapa yang lebih baik perbuatannya, kita atau iblis?
Usai solat terus melipat sejadah dan mengerjakan urusan yang
lain tanpa sempat berdoa. Melihat hidangan tersedia untuk dimakan, terus
menyuap masuk ke dalam mulut tanpa sempat untuk berdoa,.
Atau yang lebih memudaratkan lagi apabila kita langsung tiada
hati untuk berdoa dan meminta pada Allah.
Saidina Umar Ibn Al-Khattab pernah berkata: “Aku tidak pernah
mengkhuatirkan atau risau apakah doaku akan dimakbulkan oleh Allah atau tidak,
kerana setiap kali Allah mengilhamkan hambaNya untuk berdoa, maka Dia sedang
berkehendak untuk memberi karunia. Yang aku khawatirkan adalah jika aku tidak
berdoa lagi.”
Ini adalah perkara yang paling kita risaukan jika kita tiada
lagi hati dan perasaan untuk berdoa.
Cuba kita lihat, iblis sendiri sudah pun mengetahui kedudukannya
kelak di dalam neraka, tetapi masih mahu meminta kepada Allah.
Perkataan “Ya Tuhanku” pada permohonannya jelas menunjukkan
iblis mengakui bahawa Allah itu Tuhannya.
Apa bezanya iblis dengan kita, jika kita sebagai manusia lalai
dalam mengerjakan solat, lupa untuk berzikir, membiarkan al-Quran sepi dan
berhabuk, sombong untuk meminta dan berdoa, lantas langsung tiada nama Allah di
bibir kita?
Jadi siapa yang lebih mulia, kita atau iblis? Walaupun iblis
sama sekali tidak mengetahui sama ada doanya akan dimakbulkan tetapi iblis
tetap meminta kepada Allah.
Maka, sebagai manusia dan hamba seharusnya kita membandingkan
diri kita dengan iblis. Permohonan dan permintaan sang iblis, Allah kabulkan.
Tetapi kita masih malas untuk berdoa, malas untuk menadah tangan
dengan rendah diri untuk meminta, malah masih ragu-ragu dengan Allah sama ada
akan dikabulkan doa atau tidak.
“Dah berkurun aku berdoa, tapi Allah tak makbulkan pun doa aku.”
“Aku rasa Allah tak dengar doa aku, so tak payah dah lah aku
berdoa.”
“Aku ni banyak dosa, mesti Allah tak nak makbulkan doa aku.”
“Penatlah doa, tapi sama je, tak ada apa pun.”
Ini antara dialog seorang manusia yang masih tidak meletakkan
dirinya sebagai seorang hamba, yang masih bersangka-sangka dengan Allah, yang
masih tidak yakin bahawa Allah Maha memakbulkan doa.
Surah Sad, surah ke 38 ayat 79 dan 80 ada berbunyi,
Iblis: “Ya Tuhanku, tangguhkanlah aku sampai pada hari mereka
(manusia) dibangkitkan.”
Allah: “Maka sesungguhnya kamu termasuk golongan yang diberi
penangguhan, sampai pada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat).”
Ayat ini begitu jelas dan terang sekali, Allah memakbulkan doa
dan permintaan iblis yang dilaknat.
Justeru itu kita sebagai manusia seharusnya bersungguh-sungguh
dan lebih kuat doanya berbanding iblis.
Kita haruslah yakin bahawa setiap doa dan permintaan kita akan
Allah kabulkan. Sematkan di dalam hati kita bahawa sedangkan iblis adalah
makhluk yang akan memenuhi neraka jahanam pun Allah perkenankan permintaannya,
inikan pula kita manusia yang beriman pada Allah.
Allah Taala berfirman di dalam ayatNya berbunyi,
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka
jawablah sesungguhnya Aku adalah dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang
berdoa apabila dia memohon kepadaKu.”
Allah sendiri sudah berjanji akan mengabulkan doa. Siapa lagi
yang setia mengotakan janji melainkan Allah? Tetapi Allah beritahu lagi bahawa
untuk diperkenankan doa, ada syaratnya iaitu,
“Maka hendaklah mereka memenuhi segala perintahKu dan hendaklah
mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu dalam kebenaran.” (Surah
Al-baqarah, ayat ke 186)
Itulah perbezaan manusia dan iblis, tatkala Allah ingin
mengabulkan doa dan permintaan.
Kita sangat mulia di sisi Allah, kerana itu Allah mensyaratkan
supaya kita sentiasa berada di dalam kebenaran dan keimanan kepadaNya, supaya
dengan lebih mudah untuk Dia memberi apa yang kita pintakan dan memberi sebelum
kita pohonkan.
Jadinya di dalam bulan Ramadhan yang penuh mulia dan barakah
ini, seharusnya kita memperbanyakkan lagi doa.
Tidak lalai dan leka dalam memohon apa yang terbaik buat diri
kita. Yakinlah bahawa setiap doa yang kita impikan dan kita harapkan Allah akan
memakbulkannya.
Sama ada cepat atau lambat, hanya Allah yang Maha Tahu apa yang
terbaik pada setiap hambaNya.
Ramadhan adalah bulan tarbiah, bulan didikan kepada kita untuk
meletakkan doa sebagai prioriti pada setiap masa terutamanya minit-minit
terakhir sebelum waktu berbuka, supaya di bulan seterusnya kita sudah bersedia
dan merasakan kepentingan untuk berdoa di mana sahaja kita berada dan pada
bila-bila masa sahaja.
Jangan pernah berputus asa dalam meminta, jangan pernah
bersangka buruk dengan Allah.
Mohonlah dan minta sahaja apa yang dihajati kerana Allah Maha
Mendengar dan Allah akan berasa sangat malu apabila kita sebagai hamba menadah
tangan meminta kepadaNya dan Dia tidak memberi apa-apa.
Seperti di dalam hadith yang berbunyi,
“Dia malu apabila seorang hamba mengangkat kedua tangannya
kepada-Nya dan Dia mengembalikan keduanya dalam keadaan kosong tak mendapatkan
apa-apa.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Bukankah doa itu senjata orang mukmin? Senjata yang sangat
penting buat kita semua.
Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita menyenaraikan sebanyak
doa yang kita ingin minta pada Allah, kerana Allah itu sangat menantikan
doa-doa daripada kita semua.
Dia senantiasa tertunggu-tunggu kehadiran doa kita. Dia sangat
kasih kepada hambaNya yang tidak kenal erti putus asa dalam berdoa, walaupun
masih tidak diperkenankan lagi.
“Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepada-Ku, pasti Aku kabulkan
untukmu’.” (Surah Al-Ghafir 40:60)
Nahh!!!!
Anda masih ragu-ragu dan tidak yakin?
Ambillah masa bersendiri dan muhasabah, renung kembali berapa
banyak Allah sudah memberi apa yang kita inginkan, termasuklah rezeki
kesihatan, pekerjaan, keluarga, pembelajaran,
Tetapi dek kerana satu permintaan kita masih Allah hold, dan
pending, kita terus bersangka buruk dengan Allah.
Jadinya tepuk dada tanya iman,
“Adakah aku golongan yang bersungguh-sungguh dalam berdoa?”
“Adakah aku yakin dan bersangka baik dengan Allah?”
“Adakah aku ikhlas untuk meminta pada Allah?”
Ambil masa dan muhasabah, kita golongan yang mana. Selamat
berpuasa dan kencangkan lagi doa anda kepada Dia, Tuhan kita yang Maha Pemurah
lagi Maha Penyayang.
0 comments:
Post a Comment