INILAH 12 ADAB YANG PERLU DILAKUKAN SEMASA BERADA DI MASJID.


12 Adab Yang Mudah Dilakukan Semasa Berada Di Masjid
‘Masjid’ ialah kata pinjaman dari bahasa Arab yang bermaksud ‘tempat sujud’. Bagi umat Islam, ia adalah satu tempat suci dan mulia yang dijadikan sebagai tempat ibadat khusus. Selain sebagai tempat solat, masjid juga menjadi tempat untuk mengembangkan dakwah Islamiah.
Pada zaman Rasulullah SAW, segala kemajuan yang dicapai oleh umat Islam pada masa tersebut bermula dari masjid. Di situ, mereka berkumpul, berbincang serta merancang strategi tidak kira dalam apa jua bidang. Justeru, dalam memupuk diri kita untuk mengimarahkan rumah Allah ini, ada baiknya kita tahu juga tentang adab-adab ketika berada di situ. Berikut dikongsikan;
#1 – Niat Kerana Allah SWT
Apa-apa sahaja yang hendak dilakukan, segalanya bermula dari niat. Begitu juga dalam melaksanakan amal ibadah, niatkan hal tersebut semata-mata untuk mengharapkan keredhaan dari-Nya sahaja.
#2 – Berpakaian Yang Bersih
Firman Allah SWT bermaksud;
“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap kali memasuki masjid.”(Al-A’raf: 31)
#3 – Jauhkan Diri Daripada Makan Makanan Yang Berbau
Dari Jabir r.anhu bahawasanya Rasulullah SAW bersabda;
“Barangsiapa yang memakan dari tanaman ini (sejenis bawang dan seumpamanya), maka janganlah ia mendekati masjid kami, kerana sesungguhnya malaikat terganggu dengan bau tersebut, begitu juga manusia.”
(Hadis Riwayat Bukhari no. 854 dan Muslim no. 1546)
#4 – Membersihkan Kasut/Selipar
Sebelum menuju ke tempat ruangan solat, masjid atau rumah Allah, pastikan kasut atau selipar yang dipakai dalam keadaan bersih. Ini kerana jika terdapat najis atau kotoran, dibimbangi ia akan mencemarkan kebersihan kawasan sekitar tempat solat tersebut.
#5 – Mengambil Wuduk
Sebaiknya, sebelum memasuki ruangan solat pastikan diri kita dalam keadaan suci berwuduk.
#6 – Mulakan Masuk Dengan Kaki Kanan
Ketika memasuki masjid, hendaklah memulakan dengan kaki kanan. Begitu juga apabila kita melangkah ke tempat-tempat mulia yang lain.
Anas bin Malik r.anhu mengatakan;
“Termasuk ajaran Nabi saw, ketika anda masuk masjid, perlu didahulukan kaki kanan dan ketika keluar, dahulukan kaki kiri.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
#7 – Membaca Doa Masuk Ke Dalam Masjid
Doanya seperti berikut;
“Allahummaftahli abwaaba rahmatika (Ya Allah, ampunilah dosaku dan bukakanlah untukku pintu rahmat-Mu).”
#8 – Memberi Salam Kepada Ahli Masjid
Jika terdapat Jemaah lain di dalam ruangan solat, sebaiknya kita menyapanya dengan memberi salam atau hanya senyum padanya sebagai tanda menghormati sesama saudara seislam. Adapun, jika tiada sesiapa di ruangan solat tersebut, memadai jika kita ucapkan; ‘Semoga keselamatan bagi kamu dan hamba-hamba Allah yang soleh’.
#9 – Tidak Lalu Di Hadapan Orang Yang Sedang Solat
Dilarang sama sekali untuk lalu atau berjalan di hadapan orang yang sedang bersolat sekalipun solat sunat. Batasan larangan untuk dilalu adalah seluas sejadah atau tanda yang biasa digunakan untuk tempat solat. Namun begitu, hal ini diharuskan jika dalam situasi darurat iaitu jika tiada jalan lain yang boleh dilalu atau sekiranya seseorang itu solat di kawasan yang biasa menjadi laluan lalu lintas seperti jalur tawaf.
#10 – Tidak Bercakap Tentang Perkara Dunia
Perkara dunia yang dimaksudkan ini adalah urusan jual beli yang dilakukan di dalam masjid. Juga sama halnya jika berbual kosong, menyanyi lagu-lagu yang tidak memberi manfaat dan hal-hal lain yang tidak sesuai dilakukan ketika berada di dalam rumah Allah.
#11 – Melaksanakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid
Rasulullah SAW bersabda;
“Jika salah seorang dari kalian masuk ke masjid, maka hendaklah dia solat dua rakaat sebelum dia duduk.” (Hadis Riwayat Tirmizi no. 3426)
#12 – Keluar Masjid Dengan Kaki Kiri Dan Membaca Doa
Rasulullah SAW bersabda;
“Dan, apabila seseorang keluar dari masjid hendaklah dia mengucapkan, ‘Allahumma inni as-aluka min fadhlika (Ya Allah, aku meminta kurniaan-Mu)’.”
(Hadis Riwayat Muslim no.713)
Adab adalah sebahagian daripada akhlak dalam Islam. Sebaik-baik contoh teladan yang wajar diikuti adalah akhlak Baginda Nabi SAW. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat penulis dan pembaca semua. Wallahua’lam.
Sumber: Tazkirah.net


Share on Google Plus

About Media Portal

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment